Tuesday 28 June 2011

Surah 110 : An-Nashr (Pertolongan)

Pengenalan

Surah ini dinamakan dengan ‘An-Nashr’ (Pertolongan) berdasarkan perkataan ‘Nashr’ yang terdapat pada ayat pertama di dalam surah ini. Nama lain bagi surah ini ialah ‘Al-Futuh’ (Kemenangan atau Pembukaan) di atas perkataan ‘Al-Fath’ yang juga terdapat di dalam ayat pertama serta bersempena pembukaan Mekah yang dikuasai umat Islam pada masa itu.

Surah An-Nashr terdiri dari 3 ayat. Ia berupa surah Madaniyah, surah (bukan ayat) yang terakhir diturunkan di zaman Madinah. Ada riwayat yang menyatakan surah ini diturunkan di Mina semasa Haji Wada’.

Mengikut satu hadits yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi, surah ini menyamai satu perempat Al-Quran. 


Pengertian

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

(1)   Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan.

(2)   Dan engkau melihat manusia berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah.

(3)   Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan beristighfarlah kepadaNya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.



Pengajaran

1.      Allah telah menjanjikan kemenangan kepada umat Islam yang beriman dan beramal soleh (24:55). Kemenangan demi kemenangan telah dicapai mereka di sepanjang zaman. Kemenangan-kemenangan itu tidak mungkin dicapai tanpa pertolongan Allah swt.

2.      Kemenangan membuka kota Mekah merupakan kemenangan utama Rasulullah, dapat membebaskan kota yang menjadi kiblat umat Islam itu dari berhala-berhala. Berikutan kemenangan tersebut, kaum Arab berbondong-bondong memeluk Islam. Dua tahun kemudian, seluruh Semenanjung Arab dikuasai oleh umat Islam.

3.      Umat Islam diajar adab sewaktu beroleh kemenangan di dalam mengembangkan  Islam. Kemenangan itu meliputi kemenangan besar seperti menguasai sesuatu tempat, maupun kejayaan kecil seperti dakwahnya diterima oleh orang lain. Mereka diperintahkan untuk bertasbih kepada Allah dengan memujiNya, mengiktiraf bahawa kemenangan tersebut bukanlah kerana kehebatan diri mereka, tetapi dengan pertolongan Allah jua. Mereka juga diseru untuk beristighfar bagi mengakui kelemahan diri sewaktu beroleh kejayaan tersebut. Kemenangan dikembalikan kepada Allah, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf (12:100-101) dan Nabi Sulaiman (27:40).

4.      Surah ini, sebagaimana yang ditafsirkan oleh Ibnu Abbas r.a dan dipersetujui oleh Saidina Umar r.a., menandakan saat kewafatan Rasulullah saw telah hampir. Tugas baginda hampir selesai lalu baginda diminta untuk bertasbih dengan memuji Allah dan beristighfar kepadaNya.

Monday 20 June 2011

Surah 111 : Al-Lahab (Gejolak Api)

Pengenalan

Surah ini dinamakan dengan ‘Al-Lahab’ (Gejolak Api) berdasarkan perkataan ‘Lahab’ yang terdapat pada ayat pertama dan ketiga di dalam surah ini. Nama lain bagi surah ini yang sering juga digunakan ialah ‘Al-Masad’, sempena perkataan ‘Masad’ (sabut yang dipintal) yang terdapat di akhir surah. Surah Al-Lahab terdiri dari 5 ayat. Ia berupa surah Makkiyah, surah yang diturunkan di Mekah. 


Pengertian

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

(1)   Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan dia benar-benar binasa.

(2)   Tidak berguna baginya hartanya dan apa-apa yang dia usahakan.

(3)   Kelak dia akan memasuki api yang bergejolak (neraka).

(4)   Dan isterinya, pembawa kayu api.

(5)   Di lehernya ada tali dari sabut yang dipintal.


Pengajaran

1.   Abu Lahab merupakan satu-satunya musuh Islam di zaman Nabi Muhammad s.a.w. yang disebutkan namanya dalam Al-Quran. Nama sebenarnya ialah Abdul Uzza bin Abdul Muttalib, bapa saudara Rasulullah saw. Beliau bangga dengan gelaran ‘Abu Lahab’, digelar demikian kerana wajahnya putih kemerahan. Allah menggunakan perkataan ‘Lahab’ (gejolak api) yang sama dalam ayat yang ketiga, menjanjikan neraka kepadanya.

2.   Abu Lahab amat memusuhi dakwah yang disampaikan baginda. Beliau mengecam Rasulullah apabila baginda menyampaikan Islam kepada keluarga terdekat di bukit Safa, setelah turun ayat 214 dari surah Asy-Syu’ara. Beliau juga mengganggu usaha dakwah yang baginda sampaikan kepada masyarakat, antaranya di pasar Zul Majaz. Abu Lahab dari kabilah Bani Hasyim, namun beliau bersama dengan kabilah Arab yang lain dalam memulaukan kabilahnya sendiri apabila Rasulullah enggan meninggalkan dakwah Islam.  

3.   Abu Lahab merupakan lambang musuh-musuh Islam, dalam penentangan terhadap agama ini, dan pembalasan yang mereka akan perolehi di akhirat kelak. Pada hari itu harta dan usaha mereka tidak berguna dalam menyelamatkan diri dari azab neraka yang bergejolak apinya.

4.   Isteri Abu Lahab, Ummu Jamil Arwa binti Harb, adik Abu Sufyan, turut sama dalam menyekat dakwah Islam. Allah menggelarnya ‘pembawa kayu api’ sebagai penghinaan terhadap beliau. Gelaran ini juga bermaksud bahawa beliau menyebarkan fitnah terhadap Rasulullah di kalangan masyarakat. Di samping itu beliau dikatakan memungut kayu-kayu yang berduri dan meletakkannya di jalan-jalan yang dilalui oleh Nabi.

5.   Ummu Jamil mempunyai seutas kalong dan loket yang besar dan mahal harganya. Beliau berjanji untuk menggunakan keduanya bagi membiayai permusuhan beliau dengan Rasulullah s.a.w. Dengan sebab inilah Allah s.w.t. menyiksa isteri Abu Lahab  dengan tali yang dibuat dari sabut yang dipintal yang melilit lehernya di dalam neraka nanti.

6.   Gandingan suami isteri Abu Lahab dan Ummu Jamil telah menambahkan kesesatan sesama sendiri. Islam mengajar kita untuk memilih suami dan isteri yang soleh dan solehah yang saling bantu membantu di dalam kebaikan. Namun suami atau isteri yang tidak menepati ciri tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk seseorang jauh daripada Allah s.w.t. Allah mencontohkan isteri Firaun (Asiah) beriman walau berada dalam rumahtangga Firaun (66:11). Begitu juga Allah mencontohkan  isteri-isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut yang kafir walau berada di dalam rumahtangga Rasul-rasul (66:10).  

Sunday 22 May 2011

Surah 112 : Al-Ikhlas (Memurnikan Keesaan Allah)

Pengenalan

Surah ini dinamakan dengan ‘Al-Ikhlas’, Memurnikan (Keesaan Allah) berdasarkan tema surah yang membicarakan tentang tauhid yang tulus dan suci terhadap Allah swt. Nama ini bukanlah diambil dari perkataan yang terdapat di dalam surah sebagaimana kebanyakan surah lain. Selain dari Al-Ikhlas, surah ini juga dinamakan sebagai Al-Asas, At-Tauhid dan Al-Wilayah di samping beberapa nama lagi.

Surah Al-Ikhlas terdiri dari 4 ayat, merupakan surah Makkiyah.


Pengertian

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

(1)   Katakanlah: "Dia-lah Allah Yang Maha Esa.

(2)   Allah tempat meminta.

(3)   (Allah) tidak beranak dan tidak diperanakkan.

(4)   Dan tidak ada sesuatu yang setara denganNya.”


Pengajaran

1.      Terdapat beberapa hadits yang menyatakan bahawa surah Al-Ikhlas menyamai satu pertiga Al-Quran. Surah ini merupakan intisari kepada salah satu dari tiga mesej Al-Quran iaitu mentauhidkan Allah swt. Dua lagi mesej ialah iman kepada hari akhirat dan beramal soleh (2:62).

2.      Fitrah kemanusiaan mengakui kewujudan Tuhan di sebalik alam ini (7:172). Tuhan itu tidak lain melainkan Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Ini menolak kepercayaan bahawa tuhan berbilang-bilang sebagaimana dalam banyak agama. Fahaman tidak bertuhan (atheist) juga dengan sendirinya tertolak.

3.      Allah swt tidak memerlukan sesuatu apa pun dari makhluk, sebaliknya makhluklah yang memerlukan Allah. Hakikat ini jelas apabila manusia berada di dalam keadaan bahaya seperti di laut. Mereka hanya meminta kepada Allah. (17:67). Manusia tidak memerlukan perantaraan dalam meminta kepadaNya.  

4.      Allah tidak mempunyai anak sebagaimana yang didakwa oleh orang Yahudi dan Kristian. Orang Yahudi mengatakan bahawa Uzair itu anak Allah manakala orang Kristian berpegang bahawa Nabi Isa sebagai anakNya. (9:30). Di samping itu kaum musyrikin menyatakan malaikat-malaikat itu anak perempuan Allah (16:57). Maha Suci Allah dari apa yang mereka perkatakan.

5.      Allah juga tidak diperanakkan, tidak mempunyai ibu dan bapa sebagaimana makhluk. ‘Diperanakkan’ menunjukkan sifat baru wujud, sedangkan Allah tidak ada awal dan akhir.

6.      Tidak ada sesuatu pun yang sebanding dengan Allah dalam semua perkara, baik di segi zat, sifat dan kekuasaanNya. Ayat terakhir ini menegaskan makna ayat yang pertama.

Monday 9 May 2011

Surah 113 : Al-Falaq (Waktu Subuh)

Pengenalan

Surah ini dinamakan dengan ‘Al-Falaq’ (Waktu Subuh) berdasarkan perkataan ‘Al-Falaq’ yang terdapat pada ayat pertama surah ini. Ia terdiri dari 5 ayat. Sebagaimana surah An-Naas, ada ulamak yang berpandangan bahawa surah ini adalah surah Makkiyah, surah yang diturunkan di Mekah. Ada juga yang berpendapat ia merupakan surah Madaniyah, diturunkan di Madinah.

Surah Al-Falaq adalah salah satu dari dua surah muawwizah (memohon perlindungan). Satu lagi ialah surah An-Naas. Kedua-dua surah ini diturunkan pada masa yang sama.


Pengertian

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

(1)   Katakanlah: "Aku berlindung dengan Rabb (Yang Menguasai) waktu subuh,

(2)   dari kejahatan (makhluk yang) Dia ciptakan,

(3)   dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita,

(4)   dan dari kejahatan wanita-wanita ahli sihir yang menghembus (menjampi) pada simpulan-simpulan,

(5)   dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia dengki.”


Pengajaran

1.   Surah ini mengandungi permohonan perlindungan dengan Allah, Tuhan yang Menguasai waktu subuh, waktu kegelapan bertukar menjadi cerah. Dalam surah Al-Falaq ini kita diajar untuk memohon perlindungan dari kejahatan yang dilakukan oleh makhluk yang diciptaNya. Dia-lah yang menciptakan mereka dan Dia-lah yang menguasai setiap apa yang mereka kerjakan. Tidak ada apa-apa yang boleh berlaku melainkan dengan keizinanNya.

2.   Tiga kejahatan makhluk yang dinyatakan dalam surah ini ialah kejahatan yang selalu berlaku di waktu malam gulita, kejahatan ahli sihir dan kejahatan orang yang berdengki.

3.   Kejahatan manusia, binatang buas dan sebagainya banyak berlaku di waktu malam kerana kegelapan menutupi pelakunya. Mangsa kejahatan biasanya di dalam keadaan tidak bersedia sewaktu kejahatan berlaku.

4.   Sihir yang dilakukan oleh ahli sihir boleh membawa pelbagai mudarat kepada manusia. Allah yang mengizinkan sihir itu berlaku juga yang boleh menyembuhkannya. Hanya Dia yang berkuasa, bukannya penyihir walau sehebat mana mereka sekalipun.

5.   Dengki merupakan satu penyakit hati yang tua usianya. Ia merupakan dosa yang pertama berlaku di langit apabila Iblis berdengki dengan Nabi Adam. Ia juga dosa yang pertama berlaku di bumi apabila Qabil membunuh Habil. Orang yang berdengki sering berusaha untuk menjatuhkan orang yang didengkinya dengan secara terang-terangan maupun bersembunyi seperti sihir. Perlindungan dari Allah dipohoni dari kejahatan mereka, juga secara tidak langsung, supaya Allah melindungi kita dari sifat dengki ini.

6.   Menurut seorang sahabat, Abu Said Al-Khudri, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi, Rasulullah s.a.w. biasa berdoa dengan beberapa doa untuk melindungi diri dari gangguan jin dan kejahatan manusia sehingga kedua-dua surah Al-Mua’wwizatain (Al-Falaq dan An-Naas) diturunkan. Baginda kemudian menggunakan kedua-dua surah ini dan meninggalkan doa-doa lain.

Friday 1 October 2010

Surah 114 : An-Naas (Manusia)

Pengenalan

Surah ini dinamakan dengan ‘An-Naas’ (manusia) berdasarkan perkataan ‘An-Naas’ yang diulangi 5 kali di dalamnya . Ia merupakan surah yang ke 114, surah yang terakhir di dalam Al-Quran. Ia terdiri dari 6 ayat. Ada ulamak yang berpandangan bahawa surah ini adalah surah Makkiyah, surah yang diturunkan di Mekah. Ada juga yang berpendapat ia merupakan surah Madaniyah, diturunkan di Madinah.

Surah An-Naas adalah salah satu dari dua surah muawwizah (memohon perlindungan). Satu lagi ialah surah Al-Falaq. Kedua-dua surah ini diturunkan pada masa yang sama.


Pengertian

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

(1) Katakanlah: "Aku berlindung dengan Rabb (Pemelihara) manusia.

(2) Malik (Raja) manusia.

(3) Ilah (Sembahan) manusia.

(4) dari kejahatan bisikan syaitan yang bersembunyi,

(5) yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia.

(6) dari (golongan) jin dan manusia.


Pengajaran

1.   Surah ini mengandungi permohonan perlindungan dari Allah s.w.t.  dengan tiga sifatNya iaitu Rabb (Pemelihara), Malik (Raja) dan Ilah (Sembahan). Perlindungan yang dipohonkan dalam surah ini ialah dari satu kejahatan iaitu bisikan syaitan. Dalam surah Al-Falaq pula, perlindungan dari satu sifat Allah, ‘Rabb waktu subuh’ dipohonkan. Perlindungan yang dipohonkan ialah dari tiga kejahatan dari ciptaanNya iaitu kejahatan malam, kejahatan wanita tukang sihir dan kejahatan pendengki. Ini suatu tanda bahawa kejahatan yang disebutkan dalam surah An-Naas lebih berbahaya dari kejahatan yang diminta perlindungan dalam surah Al-Falaq kerana ia berkait dengan pembalasan di akhirat. Kejahatan yang disebutkan dalam surah Al-Falaq adalah bahaya di dunia sahaja.

2.   Perkataan manusia (An-Naas) digandingkan dengan ketiga-tiga sifat Allah tadi untuk menunjukkan keutamaan manusia berbanding dengan makhluk Allah yang lain walhal Allah juga Rabb, Malik dan Ilah makhluk lain. Dalam masa yang sama, manusialah makhluk Allah yang banyak memohon perlindungan dariNya.

3.   Kita diajar untuk memohon perlindungan dari kejahatan bisikan syaitan, syaitan yang terdiri dari jin dan manusia itu sendiri. Dalam hal ini, Allah berfirman:

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dari jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia).” (al-An’aam, 6:112)

Godaan-godaan yang mengajak manusia ke arah kejahatan bukan sahaja datangnya dari syaitan yang tidak kelihatan di kalangan jin, tetapi juga di kalangan manusia. 

Saturday 11 September 2010

Surah-surah Juz Amma


78. An-Naba' - Berita Besar - 40 ayat - Makkiyah

79. An-Naazi'aat - Malaikat-malaikat yang Mencabut - 46 ayat - Makkiyah

80. 'Abasa - Ia Bermasam Muka - 42 ayat - Makkiyah

81. At-Takwiir - Menggulung - 29 ayat - Makkiyah

82. Al-Infithaar - Terbelah - 19 ayat - Makkiyah

83. Al-Muthaffifiin - Orang-orang yang Curang - 36 ayat - Makkiyah

84. Al-Insyiqaaq - Terbelah - 25 ayat - Makkiyah

85. Al-Buruuj - Gugusan Bintang - 22 ayat - Makkiyah

86. Ath-Thaariq - Yang Datang di Malam Hari - 17 ayat - Makkiyah

87. Al-A'laa - Yang Paling Tinggi - 19 ayat - Makkiyah

88. Al-Ghaasyiyah - Hari Pembalasan - 26 ayat - Makkiyah

89. Al-Fajr - Fajar - 30 ayat - Makkiyah

90. Al-Balad - Negeri - 20 ayat - Makkiyah

91. Asy-Syams - Matahari - 15 ayat - Makkiyah

92. Al-Lail - Malam - 21 ayat - Makkiyah

93. Adh-Dhuhaa - Waktu Dhuha - 11 ayat - Makkiyah

94. Alam Nasyrah - Bukankah Kami telah Melapangkan - 8 ayat - Makkiyah

95. At-Tiin - Buah Tin - 8 ayat - Makkiyah

96. Al-'Alaq - Segumpal Darah - 19 ayat - Makkiyah

97. Al-Qadr - Kemuliaan - 5 ayat - Makkiyah

98. Al-Bayyinah - Bukti - 8 ayat - Madaniyah

99. Az-Zalzalah - Kegoncangan - 8 ayat - Madaniyah

100. Al-'Aadiyaat - Kuda Perang yang Berlari Kencang - 11 ayat - Makkiyah

101. Al-Qaari'ah - Hari Kiamat - 11 ayat - Makkiyah

102. At-Takaatsur - Bermegah-megahan - 8 ayat - Makkiyah

103. Al-'Ashr - Masa - 3 ayat - Makkiyah

104. Al-Humazah - Pengumpat - 9 ayat - Makkiyah

105. Al-Fiil - Gajah - 5 ayat - Makkiyah

106. Quraisy - Suku Quraisy - 4 ayat - Makkiyah

107. Al-Maa'uun - Barang-barang yang Berguna - 7 ayat - Makkiyah

108. Al-Kautsar - Sungai di Syurga - 3 ayat - Makkiyah

109. Al-Kaafiruun - Orang-orang Kafir - 6 ayat - Makkiyah

110. An-Nashr - Pertolongan - 3 ayat - Madaniyah

111. Al-Lahab - Gejolak Api - 5 ayat - Makkiyah

112. Al-Ikhlash - Memurnikan Keesaan Allah - 4 ayat - Makkiyah

113. Al-Falaq - Waktu Subuh - 5 ayat - Makkiyah

114. An-Naas - Manusia - 6 ayat  - Makkiyah