Friday 1 October 2010

Surah 114 : An-Naas (Manusia)

Pengenalan

Surah ini dinamakan dengan ‘An-Naas’ (manusia) berdasarkan perkataan ‘An-Naas’ yang diulangi 5 kali di dalamnya . Ia merupakan surah yang ke 114, surah yang terakhir di dalam Al-Quran. Ia terdiri dari 6 ayat. Ada ulamak yang berpandangan bahawa surah ini adalah surah Makkiyah, surah yang diturunkan di Mekah. Ada juga yang berpendapat ia merupakan surah Madaniyah, diturunkan di Madinah.

Surah An-Naas adalah salah satu dari dua surah muawwizah (memohon perlindungan). Satu lagi ialah surah Al-Falaq. Kedua-dua surah ini diturunkan pada masa yang sama.


Pengertian

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

(1) Katakanlah: "Aku berlindung dengan Rabb (Pemelihara) manusia.

(2) Malik (Raja) manusia.

(3) Ilah (Sembahan) manusia.

(4) dari kejahatan bisikan syaitan yang bersembunyi,

(5) yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia.

(6) dari (golongan) jin dan manusia.


Pengajaran

1.   Surah ini mengandungi permohonan perlindungan dari Allah s.w.t.  dengan tiga sifatNya iaitu Rabb (Pemelihara), Malik (Raja) dan Ilah (Sembahan). Perlindungan yang dipohonkan dalam surah ini ialah dari satu kejahatan iaitu bisikan syaitan. Dalam surah Al-Falaq pula, perlindungan dari satu sifat Allah, ‘Rabb waktu subuh’ dipohonkan. Perlindungan yang dipohonkan ialah dari tiga kejahatan dari ciptaanNya iaitu kejahatan malam, kejahatan wanita tukang sihir dan kejahatan pendengki. Ini suatu tanda bahawa kejahatan yang disebutkan dalam surah An-Naas lebih berbahaya dari kejahatan yang diminta perlindungan dalam surah Al-Falaq kerana ia berkait dengan pembalasan di akhirat. Kejahatan yang disebutkan dalam surah Al-Falaq adalah bahaya di dunia sahaja.

2.   Perkataan manusia (An-Naas) digandingkan dengan ketiga-tiga sifat Allah tadi untuk menunjukkan keutamaan manusia berbanding dengan makhluk Allah yang lain walhal Allah juga Rabb, Malik dan Ilah makhluk lain. Dalam masa yang sama, manusialah makhluk Allah yang banyak memohon perlindungan dariNya.

3.   Kita diajar untuk memohon perlindungan dari kejahatan bisikan syaitan, syaitan yang terdiri dari jin dan manusia itu sendiri. Dalam hal ini, Allah berfirman:

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dari jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia).” (al-An’aam, 6:112)

Godaan-godaan yang mengajak manusia ke arah kejahatan bukan sahaja datangnya dari syaitan yang tidak kelihatan di kalangan jin, tetapi juga di kalangan manusia. 

1 comment:

  1. Assalaamu'alaikum warahmatullah...

    Teruskan usaha dengan tafsirnya sekali.

    Hadis : Dari Uqbah bin Amir r.a : Ketika aku berjalan bersama Rasulullah saw antara Juhfah dan Abwa’ (Abwa' adalah-sebuah desa yang terletak antara Madinah dan Juhfah, kira- kira sejauh 23 mil di sebelah selatan kota Madinah), tiba-tiba kami diliputi angin dan cuaca gelap-gelita.

    Maka Rasulullah saw memohon perlindungan dengan membaca ‘Qul a’uudzubirobbil falaq’ dan ‘Qul a’uudzubirobbin naas’, dan Rasulullah saw bersabda, “Wahai Uqbah, mohonlah perlindungan kepada Allah dengan kedua surah ini. Tidak seorang pun berlindung kepada Allah dengan doa yang menyerupai keduanya”.

    Kata Uqbah, ‘Aku mendengar beliau menjadi imam ketika solat bersama kami dengan membaca kedua surah itu’. [Hadis 1463] Sahih Abu Daud

    Hadis : Dari Utsman r.a : Nabi saw bersabda, “Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.” [Hadis 1452] Sahih Abu Daud

    Usaha Dakwah Berterusan
    ( www.KoleksiHadisNabi.blogspot.com )

    ReplyDelete