Sunday, 22 May 2011

Surah 112 : Al-Ikhlas (Memurnikan Keesaan Allah)

Pengenalan

Surah ini dinamakan dengan ‘Al-Ikhlas’, Memurnikan (Keesaan Allah) berdasarkan tema surah yang membicarakan tentang tauhid yang tulus dan suci terhadap Allah swt. Nama ini bukanlah diambil dari perkataan yang terdapat di dalam surah sebagaimana kebanyakan surah lain. Selain dari Al-Ikhlas, surah ini juga dinamakan sebagai Al-Asas, At-Tauhid dan Al-Wilayah di samping beberapa nama lagi.

Surah Al-Ikhlas terdiri dari 4 ayat, merupakan surah Makkiyah.


Pengertian

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

(1)   Katakanlah: "Dia-lah Allah Yang Maha Esa.

(2)   Allah tempat meminta.

(3)   (Allah) tidak beranak dan tidak diperanakkan.

(4)   Dan tidak ada sesuatu yang setara denganNya.”


Pengajaran

1.      Terdapat beberapa hadits yang menyatakan bahawa surah Al-Ikhlas menyamai satu pertiga Al-Quran. Surah ini merupakan intisari kepada salah satu dari tiga mesej Al-Quran iaitu mentauhidkan Allah swt. Dua lagi mesej ialah iman kepada hari akhirat dan beramal soleh (2:62).

2.      Fitrah kemanusiaan mengakui kewujudan Tuhan di sebalik alam ini (7:172). Tuhan itu tidak lain melainkan Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Ini menolak kepercayaan bahawa tuhan berbilang-bilang sebagaimana dalam banyak agama. Fahaman tidak bertuhan (atheist) juga dengan sendirinya tertolak.

3.      Allah swt tidak memerlukan sesuatu apa pun dari makhluk, sebaliknya makhluklah yang memerlukan Allah. Hakikat ini jelas apabila manusia berada di dalam keadaan bahaya seperti di laut. Mereka hanya meminta kepada Allah. (17:67). Manusia tidak memerlukan perantaraan dalam meminta kepadaNya.  

4.      Allah tidak mempunyai anak sebagaimana yang didakwa oleh orang Yahudi dan Kristian. Orang Yahudi mengatakan bahawa Uzair itu anak Allah manakala orang Kristian berpegang bahawa Nabi Isa sebagai anakNya. (9:30). Di samping itu kaum musyrikin menyatakan malaikat-malaikat itu anak perempuan Allah (16:57). Maha Suci Allah dari apa yang mereka perkatakan.

5.      Allah juga tidak diperanakkan, tidak mempunyai ibu dan bapa sebagaimana makhluk. ‘Diperanakkan’ menunjukkan sifat baru wujud, sedangkan Allah tidak ada awal dan akhir.

6.      Tidak ada sesuatu pun yang sebanding dengan Allah dalam semua perkara, baik di segi zat, sifat dan kekuasaanNya. Ayat terakhir ini menegaskan makna ayat yang pertama.

Monday, 9 May 2011

Surah 113 : Al-Falaq (Waktu Subuh)

Pengenalan

Surah ini dinamakan dengan ‘Al-Falaq’ (Waktu Subuh) berdasarkan perkataan ‘Al-Falaq’ yang terdapat pada ayat pertama surah ini. Ia terdiri dari 5 ayat. Sebagaimana surah An-Naas, ada ulamak yang berpandangan bahawa surah ini adalah surah Makkiyah, surah yang diturunkan di Mekah. Ada juga yang berpendapat ia merupakan surah Madaniyah, diturunkan di Madinah.

Surah Al-Falaq adalah salah satu dari dua surah muawwizah (memohon perlindungan). Satu lagi ialah surah An-Naas. Kedua-dua surah ini diturunkan pada masa yang sama.


Pengertian

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

(1)   Katakanlah: "Aku berlindung dengan Rabb (Yang Menguasai) waktu subuh,

(2)   dari kejahatan (makhluk yang) Dia ciptakan,

(3)   dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita,

(4)   dan dari kejahatan wanita-wanita ahli sihir yang menghembus (menjampi) pada simpulan-simpulan,

(5)   dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia dengki.”


Pengajaran

1.   Surah ini mengandungi permohonan perlindungan dengan Allah, Tuhan yang Menguasai waktu subuh, waktu kegelapan bertukar menjadi cerah. Dalam surah Al-Falaq ini kita diajar untuk memohon perlindungan dari kejahatan yang dilakukan oleh makhluk yang diciptaNya. Dia-lah yang menciptakan mereka dan Dia-lah yang menguasai setiap apa yang mereka kerjakan. Tidak ada apa-apa yang boleh berlaku melainkan dengan keizinanNya.

2.   Tiga kejahatan makhluk yang dinyatakan dalam surah ini ialah kejahatan yang selalu berlaku di waktu malam gulita, kejahatan ahli sihir dan kejahatan orang yang berdengki.

3.   Kejahatan manusia, binatang buas dan sebagainya banyak berlaku di waktu malam kerana kegelapan menutupi pelakunya. Mangsa kejahatan biasanya di dalam keadaan tidak bersedia sewaktu kejahatan berlaku.

4.   Sihir yang dilakukan oleh ahli sihir boleh membawa pelbagai mudarat kepada manusia. Allah yang mengizinkan sihir itu berlaku juga yang boleh menyembuhkannya. Hanya Dia yang berkuasa, bukannya penyihir walau sehebat mana mereka sekalipun.

5.   Dengki merupakan satu penyakit hati yang tua usianya. Ia merupakan dosa yang pertama berlaku di langit apabila Iblis berdengki dengan Nabi Adam. Ia juga dosa yang pertama berlaku di bumi apabila Qabil membunuh Habil. Orang yang berdengki sering berusaha untuk menjatuhkan orang yang didengkinya dengan secara terang-terangan maupun bersembunyi seperti sihir. Perlindungan dari Allah dipohoni dari kejahatan mereka, juga secara tidak langsung, supaya Allah melindungi kita dari sifat dengki ini.

6.   Menurut seorang sahabat, Abu Said Al-Khudri, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi, Rasulullah s.a.w. biasa berdoa dengan beberapa doa untuk melindungi diri dari gangguan jin dan kejahatan manusia sehingga kedua-dua surah Al-Mua’wwizatain (Al-Falaq dan An-Naas) diturunkan. Baginda kemudian menggunakan kedua-dua surah ini dan meninggalkan doa-doa lain.