Sunday, 22 May 2011

Surah 112 : Al-Ikhlas (Memurnikan Keesaan Allah)

Pengenalan

Surah ini dinamakan dengan ‘Al-Ikhlas’, Memurnikan (Keesaan Allah) berdasarkan tema surah yang membicarakan tentang tauhid yang tulus dan suci terhadap Allah swt. Nama ini bukanlah diambil dari perkataan yang terdapat di dalam surah sebagaimana kebanyakan surah lain. Selain dari Al-Ikhlas, surah ini juga dinamakan sebagai Al-Asas, At-Tauhid dan Al-Wilayah di samping beberapa nama lagi.

Surah Al-Ikhlas terdiri dari 4 ayat, merupakan surah Makkiyah.


Pengertian

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

(1)   Katakanlah: "Dia-lah Allah Yang Maha Esa.

(2)   Allah tempat meminta.

(3)   (Allah) tidak beranak dan tidak diperanakkan.

(4)   Dan tidak ada sesuatu yang setara denganNya.”


Pengajaran

1.      Terdapat beberapa hadits yang menyatakan bahawa surah Al-Ikhlas menyamai satu pertiga Al-Quran. Surah ini merupakan intisari kepada salah satu dari tiga mesej Al-Quran iaitu mentauhidkan Allah swt. Dua lagi mesej ialah iman kepada hari akhirat dan beramal soleh (2:62).

2.      Fitrah kemanusiaan mengakui kewujudan Tuhan di sebalik alam ini (7:172). Tuhan itu tidak lain melainkan Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Ini menolak kepercayaan bahawa tuhan berbilang-bilang sebagaimana dalam banyak agama. Fahaman tidak bertuhan (atheist) juga dengan sendirinya tertolak.

3.      Allah swt tidak memerlukan sesuatu apa pun dari makhluk, sebaliknya makhluklah yang memerlukan Allah. Hakikat ini jelas apabila manusia berada di dalam keadaan bahaya seperti di laut. Mereka hanya meminta kepada Allah. (17:67). Manusia tidak memerlukan perantaraan dalam meminta kepadaNya.  

4.      Allah tidak mempunyai anak sebagaimana yang didakwa oleh orang Yahudi dan Kristian. Orang Yahudi mengatakan bahawa Uzair itu anak Allah manakala orang Kristian berpegang bahawa Nabi Isa sebagai anakNya. (9:30). Di samping itu kaum musyrikin menyatakan malaikat-malaikat itu anak perempuan Allah (16:57). Maha Suci Allah dari apa yang mereka perkatakan.

5.      Allah juga tidak diperanakkan, tidak mempunyai ibu dan bapa sebagaimana makhluk. ‘Diperanakkan’ menunjukkan sifat baru wujud, sedangkan Allah tidak ada awal dan akhir.

6.      Tidak ada sesuatu pun yang sebanding dengan Allah dalam semua perkara, baik di segi zat, sifat dan kekuasaanNya. Ayat terakhir ini menegaskan makna ayat yang pertama.

No comments:

Post a Comment