Pengenalan
Surah ini dinamakan dengan ‘An-Nashr’ (Pertolongan) berdasarkan perkataan ‘Nashr’ yang terdapat pada ayat pertama di dalam surah ini. Nama lain bagi surah ini ialah ‘Al-Futuh’ (Kemenangan atau Pembukaan) di atas perkataan ‘Al-Fath’ yang juga terdapat di dalam ayat pertama serta bersempena pembukaan Mekah yang dikuasai umat Islam pada masa itu.
Surah An-Nashr terdiri dari 3 ayat. Ia berupa surah Madaniyah, surah (bukan ayat) yang terakhir diturunkan di zaman Madinah. Ada riwayat yang menyatakan surah ini diturunkan di Mina semasa Haji Wada’.
Mengikut satu hadits yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi, surah ini menyamai satu perempat Al-Quran.
Pengertian
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
(1) Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan.
(2) Dan engkau melihat manusia berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah.
(3) Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan beristighfarlah kepadaNya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.
Pengajaran
1. Allah telah menjanjikan kemenangan kepada umat Islam yang beriman dan beramal soleh (24:55). Kemenangan demi kemenangan telah dicapai mereka di sepanjang zaman. Kemenangan-kemenangan itu tidak mungkin dicapai tanpa pertolongan Allah swt.
2. Kemenangan membuka kota Mekah merupakan kemenangan utama Rasulullah, dapat membebaskan kota yang menjadi kiblat umat Islam itu dari berhala-berhala. Berikutan kemenangan tersebut, kaum Arab berbondong-bondong memeluk Islam. Dua tahun kemudian, seluruh Semenanjung Arab dikuasai oleh umat Islam.
3. Umat Islam diajar adab sewaktu beroleh kemenangan di dalam mengembangkan Islam. Kemenangan itu meliputi kemenangan besar seperti menguasai sesuatu tempat, maupun kejayaan kecil seperti dakwahnya diterima oleh orang lain. Mereka diperintahkan untuk bertasbih kepada Allah dengan memujiNya, mengiktiraf bahawa kemenangan tersebut bukanlah kerana kehebatan diri mereka, tetapi dengan pertolongan Allah jua. Mereka juga diseru untuk beristighfar bagi mengakui kelemahan diri sewaktu beroleh kejayaan tersebut. Kemenangan dikembalikan kepada Allah, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf (12:100-101) dan Nabi Sulaiman (27:40).
4. Surah ini, sebagaimana yang ditafsirkan oleh Ibnu Abbas r.a dan dipersetujui oleh Saidina Umar r.a., menandakan saat kewafatan Rasulullah saw telah hampir. Tugas baginda hampir selesai lalu baginda diminta untuk bertasbih dengan memuji Allah dan beristighfar kepadaNya.
No comments:
Post a Comment